Pages

TINGGALKAN LINK ANDA DAN KITA AKAN BERHUBUNG MESRA :)

Monday, December 20, 2010

'Ada orang doakan kami kena badi bercerai'



‘Ada orang doakan kami kena badi bercerai’
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

SELEPAS 10 minggu berhempas pulas dan berdepan dengan pelbagai cabaran akhirnya, pasangan Razif Abd Rahman, 26, dan isteri, Alia Nadira Ahmad Zuhir, 25, muncul juara rancangan realiti Mari Menari yang disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria, malam kelmarin.
Lebih menarik, apabila pasangan berasal dari Ampang, Kuala Lumpur ini bukan saja menerima hadiah berupa sebuah kondominium mewah The Haven di Ipoh, Perak bernilai RM350,000, malah turut dikejutkan penganjur dengan percutian ke Hard Rock Hotel, Bali, Indonesia di samping menjayakan rancangan Trek Selebriti.
Ditemui, sebaik diumumkan pemenang, Razif berkata, dia bersyukur atas kemenangan itu dan berterima kasih atas sokongan diberikan peminat.

“Segala cabaran dan dugaan dilalui akhirnya berbaloi. Banyak perkara yang kami alami sepanjang mengikuti pertandingan ini termasuklah apabila ada pihak yang mendoakan agar badi perceraian dikaitkan dengan rancangan Sehati Berdansa juga akan berlaku kepada kami,” katanya.

Bercerita lanjut, Razif berkata, walaupun ada pihak mendoakan perkara sedemikian, namun mereka tidak patah semangat, sebaliknya menegaskan apabila sudah melangkah mereka akan memberikan yang terbaik.

Katanya, sejak zaman sekolah lagi dia mempunyai prinsip iaitu situasi selalunya akan membentuk diri, jadi apabila berdepan dengan saingan dan cemuhan seperti itu Razif mahupun isterinya akan cuba menyesuaikan keadaan dan bertenang.

Menyentuh mengenai badi yang diperkatakan, kata Razif, yang baru enam bulan mendirikan rumah tangga, dia sebaiknya cuba menenangkan keadaan apabila berdepan suasana tegang apatah lagi cemuhan daripada peminat pesaing.

“Tidak dinafikan, saya ibarat api dan apabila timbul masalah atau tekanan, isteri akan cuba menjadi air. Begitulah sebaliknya.

“Saya akan menerangkan kepada isteri dan selalu memberitahu dirinya agar memberi tumpuan penuh. Apabila tumpuan tidak terganggu pasti kita mampu untuk melaksanakan kerja dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Alia tidak menafikan dia bertuah kerana suami banyak memberikan dorongan. Apatah lagi dia seorang yang mudah kalut.

Bercerita lanjut mengenai hadiah dimenangi, pasangan ini meluahkan rasa syukur kerana sebaik mendirikan rumah tangga mereka memang merancang mahu mempunyai kediaman sendiri.

“Selepas berkahwin, kami tidak berkesempatan untuk pergi berbulan madu. Dan apabila pihak penganjur mengumumkan bahawa kami turut memberikan hadiah berupa percutian ke Bali, ia adalah sesuatu yang sangat manis.

“Lebih daripada itu kami memasuki pertandingan ini bagi membuktikan kepada kedua-dua orang tua kami bahawa kami boleh melakukannya.

“Apatah lagi apabila melihat bapa mentua yang bertugas sebagai pemandu lori sering berulang-alik dari Johor ke Pulau Pinang dan setiap minggu tidak pernah gagal untuk datang menyaksikan kami bertanding sebagai tanda sokongan.

“Kemenangan ini dirasakan sangat berbaloi dan kami mahu berkongsinya bersama semua ahli keluarga juga peminat yang tidak jemu-jemu mengundi kami,” katanya.
Sementara itu, tempat kedua dimenangi pasangan paling muda iaitu Fariz Raeza Mohd. Nizam, 23, dan isteri�nya Siti Rasyikah Zolkifli, 22.

Kedua-duanya berkhidmat dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Mengulas mengenai kekalahannya kepada pasangan Razif, mereka akur dengan kekuatan dimiliki pasangan juara itu. Tambahan pula Razif dan Alia menampilkan persembahan konsisten setiap minggu.

Selain itu, Fariz turut berkongsi cabaran yang harus dilalui apabila pereka tari asal mereka Khairul yang sedang mengikuti pengajian di Universiti Malaya (UM) menarik diri kerana terpaksa menumpukan perhatian kepada peperiksaan.

“Kekalahan kami bukan kerana ketiadaan Khairul. Walaupun menerusi tunjuk ajar diberikan kami pernah menerima markah penuh iaitu 10 daripada penasihat, tetapi di bawah jurutari baru iaitu Dayana persembahan kami tidak kurang hebatnya. Cuma Razif dan Alia lebih menunjukkan konsisten sepanjang menyertai rancangan ini,” katanya.

Di malam kemuncak Mari Menari, semua pasangan harus mempersembahkan tiga tarian iaitu Hip Hop, Melayu Kontemporari dan Latin.

Persaingan dibuat secara serentak (battle). Pasangan lain turut layak bertanding malam itu adalah Zulfahmi Marzuki, 34, dan isteri Norazlin Zakaria, 32, dan Zulhafiz Che’ Chim, 27, dan isteri Nurul Husna Alias, 29 tahun. Bagaimanapun sebelum mengadakan persembahan kedua mereka terlebih dulu disingkirkan.

Kemenangan ditentukan sepenuhnya penonton Tari Menari menerusi undian sistem pesanan ringkas dan pasangan Razif memperoleh 52% undian sementara pasangan Fariz memperoleh 48% undian.

Sumber : metro.
Menari kekadang boleh release tension....

No comments:

Post a Comment

Komen jgn xkomen.... tp jika tuan blog tak sempat reply sila maafkan yer.. kekadang masa mencemburui utk melekap jew ngan blog kesayangan.. :)

Terima kasih bagi yg sudi terjah sini.. insyaallah tuan blog akan cuba menerjah blog anda kembali.. Tq for the support.