السلام عليکم
Lumrahnya lelaki akan berasa senang hati apabila didampingi wanita cantik. Manakan tidak, ia akan memberi kesan dia lelaki super hebat kerana dapat memikat wanita cantik.
Egonya akan melambung tinggi. Hatinya berbunga-bunga. Bangga setengah mati, hidup bagai di alam khayal. Yelah, siapa tidak mahu dikelilingi dengan benda-benda yang cantik. Siapa tak bangga pasangan yang mendampinginya cantik.
Lantas, semua wanita mahu dirinya cantik, atau sekurang-kurangnya mahu kelihatan cantik sehingga sanggup berbelanja sakan untuk tujuan itu atas alasan mahu menarik perhatian. Bukan pula untuk suami tetapi orang lain.
Buruknya nafsu mahu kelihatan cantik itu tak pernah reda, macam tiada sempadan. Yang sudah cantik, mahu lebih cantik. Yang tak cantik pun terlebih perasan mahu dirinya cantik seperti ratu.
Mungkin sebab itu produk kecantikan wanita lebih mudah dijual. Daripada sekecil pewarna kuku sehingga kosmetik, jamu, pil, suntikan kolagen, botox sehingga bedah plastik sentiasa menjadi buruan.
Tapi tahukah mereka, wanita cantik menurut satu kaji selidik ternyata berbahaya kepada kesihatan seorang lelaki.
Kaji selidik di Sepanyol oleh University of Valencia itu mendapati walaupun hanya lima minit berduaan dengan wanita cantik, ia sudah cukup untuk menambah kadar cortisol, iaitu hormon stres dalam badan lelaki.
Hormon stres, cortisol menurut kaji selidik tersebut akan tambah meningkat kepada lelaki yang percaya bahawa wanita cantik di sisinya itu sebenarnya di luar jangkauannya.
Cortisol dalam kadar yang kecil memberi kesan positif termasuk meningkatkan kewaspadaan tetapi jika kadarnya tinggi ia boleh menjadi penyebab kepada penyakit jantung, kencing manis, hipertensi malah lemah tenaga batin.
Juga didapati jumlah adrenalin yang dilepaskan oleh lelaki semasa berbual dengan wanita cantik yang baru dikenalinya sama tingginya dengan seseorang yang mahu melakukan terjunan payung terjun. Bayangkan debar mahupun keterujaan yang perlu ditanggung dalam keadaan begitu.
Apatah lagi jika lelaki itu berharap untuk menjalin hubungan lebih akrab, sedangkan dia tahu banyak rintangan dan halangan yang tidak mampu untuk ditempuh. Maka, akan angaulah dia yang tidur tak lena, makan tak kenyang. Jadilah stres tak tentu fasal.
Mereka yang sudah beristeri dalam hati berkata, kalaulah aku masih bujang dan waktu boleh diundur. Yang hujang pula akan berkata-kata, kalaulah aku ada kemampuan kerana persaingan sengit untuk mendapatkannya.
Kaji selidik itu tentu sekali memberi khabar buruk kepada wanita cantik. Kalaupun hanya berbual lima minit sudah cukup melonjakkan kadar hormon stres lelaki, bayangkan jika berhubungan untuk jangka masa panjang. Tentu lebih banyak ujian dan cabarannya.
Yang tentu paling dibimbangi teman wanita cantik milik kita itu akan terpikat atau dipikat lelaki lain. Maka, hidup akan dibelenggu dengan kecurigaan dan kecemburuan.
Mungkin ini juga jawapan mengapa lelaki masih berpaling kepada wanita lain sedangkan kekasih atau isterinya ‘diiktiraf’ cantik. Barangkali hormon stres mereka sudah tinggi lantas mahu melepaskan diri daripada beban yang terpaksa ditanggung itu.
Jelaslah, buruk kesannya jika kecantikan yang dianugerahkan kepada wanita tidak diurus dengan baik. Jadi sedikit nasihat kepada wanita cantik, janganlah bermegah sangat dan menunjuk-nunjuk kecantikan yang ada. Cantik fizikal sahaja bukan modal untuk mengikat lelaki.
Berpada-padalah kerana anda sebenarnya hanya bikin lelaki stres dan alangkah eloknya cantik fizikal itu diimbangi dengan kecantikan dalaman. Molek adabnya, elok pula budi pekerti. Tapi zaman sekarang sukar untuk menemui wanita sekelas ini.
Juga berhati-hatilah wahai lelaki bila berhadapan dengan wanita cantik terutama yang mahu mempergunakan kecantikannya untuk tujuan tersirat. Wanita yang berperangai begini tentu sekali bakal meningkatkan kadar hormon stres lelaki berlipat kali ganda.
Sumber :
Utusan Onlines
Ps: aku bukan golongan cantik... aku yang sedang-sedang saja... ^_^
Sign up HB!Affiliate to enjoy free gift!♥