SELAIN pelbagai jenis masakan, peserta juga diajar cara membuat kek dan pastri.
YAYASAN Kemanusiaan Muslim Aid bersama rakan dalam Projek Qaseeh (kemanusiaan), Ramiza Synergy Sdn. Bhd. bergabung tenaga dengan Silverspoon International College apabila menawarkan sebuah program khas buat ibu tunggal dinamakan Bengkel Kulinari Ibu Tunggal.
Pengerusi Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia, Habsah Marjuni berkata, ibu-ibu tunggal perlu menyertai program itu kerana selain dapat menambah kemahiran memasak daripada chef ternama mereka juga dapat menjana pendapatan tambahan.
Peserta program akan belajar memasak daripada chef terkenal Zamzani Abdul Wahab (Chef Zam) yang juga Pengetua Silverspoon International College.
Program tiga hari dua malam itu merupakan kursus pendek merangkumi kemahiran membuat pastri, masakan lauk kenduri kahwin dan kek cawan.
Katanya, ibu-ibu itu juga akan dibawa untuk melawat kilang membuat coklat buatan tangan dan akhirnya diajar membuat blog sendiri dan cara memasarkan kemahiran mereka melalui Internet.
"Bengkel kulinari itu akan turut memberi peluang kepada ibu tunggal yang tidak berkemampuan menyara kehidupan keluarga seorang diri tetapi mempunyai minat untuk belajar kemahiran memasak," kata Habsah kepada wartawan Kosmo! baru-baru ini.
Menurutnya lagi, paling istimewa, mereka diberi peluang untuk menghadiri program khas itu secara percuma.
Katanya, kursus yang akan bermula pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad itu akan dikendalikan oleh Chef Zam sendiri bersama pasukannya daripada Silverspoon International College.
Beliau menyediakan modul pembelajaran yang meliputi asas pastri, lauk pengantin, asas mufin dan kek cawan.
Segala maklumat mengenai Bengkel Kulinari Ibu Tunggal di Silverspoon International College di Puchong, Selangor boleh didapati melalui wakil-wakil berikut, Mar Izwan 017-667 9272 (Ramiza Synergy) atau Muhammad 012-337 7195 (Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia). - NOR AZIRAN YUNUS
Sumber : Kosmo.
Notakaki: Best gak kan kalu dpt belajar benda baru. Bidang masakan dah boleh jadi sumber pendapatan yg lumayan bagi usahawan wanita sekarang nih.
No comments:
Post a Comment